Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
قُلِ ?للَّهُمَّ مَـ?لِكَ ?ل?مُل?كِ تُؤ?تِى ?ل?مُل?كَ مَن تَشَا?ءُ وَتَنزِعُ ?ل?مُل?كَ مِمَّن تَشَا?ءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَا?ءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَا?ءُ? بِيَدِكَ ?ل?خَي?رُ? إِنَّكَ عَلَى? كُلِّ شَى?ءٍ? قَدِيرٌ?
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian.
Ayat yang sering dibaca dalam wirid selepas solat lima waktu dan juga dalam zikir-zikir ma’thur yang diamalkan pagi dan petang adalah satu peringatan berterusan dari Allah SWT bahawa Dialah yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Tidak ada Raja di dunia ini yang dapat mengatasi kekuasaan dan pemerintahan Rabbul Jalil.
Namun manusia yang dipinjamkan kuasa di atas muka bumi ini sering lupa. Dia menyangka kekuasaan yang ada padanya adalah mutlak dan tidak dapat diganggu gugat. Bersemayamlah dia di singgahsana kuasa dan melakukan apa yang bersesuaian dengan kehendak hati dan nafsunya. Kekuasaannya digunakan untuk berlaku zalim kepada rakyat yang sepatutnya disantuni, dilindungi dan dibela. Sebaliknya segala apparatus kekuasaannya dikerah untuk mengaut keuntungan dan harta Negara untuk diri, keluarga dan suku-sakat. Tinggal lah rakyat dalam keadaan miskin, melarat dan terlonta-lonta.
Penguasa-penguasa yang zalim ini lupa dengan hukum alam (sunatullah) yang tidak pernah mungkir janji. Mereka lupa di dalam al-Quran berapa banyak penguasa-penguasa yang zalim dimusnahkan oleh Allah SWT.
وَفِر?عَو?نَ ذِى ?ل?أَو?تَادِ
?لَّذِينَ طَغَو?اْ فِى ?ل?بِلَـ?دِ
فَأَك?ثَرُواْ فِيہَا ?ل?فَسَادَ
فَصَبَّ عَلَي?هِم? رَبُّكَ سَو?طَ عَذَابٍ
إِنَّ رَبَّكَ لَبِ?ل?مِر?صَادِ
Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10) (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11) Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12) Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; (13) Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat) (14)
Bahkan tidak lama dahulu ada seorang ketua Negara yang amat berkuasa. Kekuasaan dan kekayaan bertumpuk dibina di atas keringat dan darah rakyatnya sendiri. Dia bercita-cita agar empayar Pahlavi yang dibina kekal untuk seribu tahun lamanya. Itulah Syah Redza Pahlavi yang mati dalam buangan diburu oleh rakyatnya sendiri. Ketika dia dan keluarganya terdesak maka merayulah dia kepada penajanya di White House. Malangnya rayuannya tidak dipertimbangkan oleh Presiden Jimmy Carter. Lalu berlindunglah dia sebagai orang buangan di Mesir. Israel kehilangan kawan rapat iaitu Iran yang selama ini menjadi sekutu kuatnya untuk membendung kebangkitan rakyat Palestin. Apabila Ben-Ali, Presiden Tunisia melarikan diri dari rakyatnya yang sedang marah, cerita yang sama berulang. Presiden Sarkozy Peranchis yang selama ini mendukong Ben Ali tidak membenarkan kapal terbangnya mendarat di Paris. Apabila Ben-Ali cuba menghubungi Presiden Obama, panggilannya tidak berjawab.
Ibarat wayang kulit yang dipersembahkan berulang-ulang.
Kini kita menyaksikan sejarah itu berulang lagi. Presiden Hosni Mubarak yang sudah berusia 82 tahun merasakan manisnya kuasa selama 30 tahun. Lupa dia kepada nasib yang menimpa Anwar Sadat. Sedang dia duduk dalam majlis yang sama bersama Anwar sadat di pentas utama menyaksikan lintas hormat tentera. Ketika itulah Khalid Islambouli menerjah dan memuntahkan peluru dari senjata otomatiknya. Hosni Mubarak ditakdirkan tercedera dalam peristiwa tragis ini. Namun lupa dia kepada kemarahan rakyat Mesir yang terhina dengan perjanjian damai yang ditandatangani oleh Anwar Sadat dengan Menachem Bagin, Perdana Menteri Israel. Perjanjian yang membawa kepada luka berpanjangan kepada rakyat Palestin dan rakyat Mesir sendiri. Bukan sahaja rakyat Palestin terus dijajah, rakyat Mesir kehilangan kemerdekaannya di tangan Diktator-diktator seperti Husni Mubaraq yang kenyang dengan peruntukan sebanyak USD1.3 billion setahun.
Hosni Mubarak bukan sahaja memberi jaminan keselamatan kepada Israel malah menindas rakyatnya sendiri. Seluruh harta Negara dipunggah dan dibahagi-bahagikan kepada lebih kurang 1,000 keluarga yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti National Democratic party, satu-satunya Parti yang berhak berkuasa di Mesir buat sekian lama. 40% dari rakyat Mesir hidup di bawah paras kemiskinan tegar dengan pendapatan isi rumah tidak sampai RM6 sehari! Beberapa bulan pada tahun 2010 rakyat Mesir membuat protes agar gaji mimina dinaikkan kepada USD240 atau sekitar RM750 sebulan. Sebaliknya Mubaraq membuat keputusan bahawa gaji mereka cukup pada kadar USD100 atau RM300 sahaja! Sedang dia dan keluarganya memiliki harta yang bertumpuk di dalam dan luar Negara. Adalah dianggarkan harta Hosni Mubaraq yang disimpan di bank-bank pesisir di Negara Eropah dan Amerika mencecah USD70 billion, menjadikan ia manusia paling kaya di dunia mengatasi Bill Gates dengan Empayar Microsoftnya.
Di bawah program penswastaan, khidmat kesihatan dan pendidikan menjadi terlalu mahal untuk rakyat biasa. Anak-anak tidak ke sekolah dan mereka terpaksa membuat kerja-kerja mengutip sampah dan seumpamanya. Tidak ada pembiayaan untuk projek-projek infrastuktur bagi kemudahan rakyat. Tidak ada jejambat yang dibina untuk rakyat melintas jalan raya yang sebuk. Setiap kali untuk mendapat bekalan air bersih rakyat terpaksa melakukan tunjuk perasaan. Tuntutan rakyat yang sah ditekan dengan menggunakan kuasa polis. Polis diberi kuasa yang berlebihan untuk memantau pergerakan rakyat. Penyeksaan dan kematian dibalai-balai polis menjadi perkara biasa.
Walaupun Hosni Mubarak menyimpan harta nya di luar Negara tetapi keluarganya juga memiliki resort percutian, istana-istana dan perniagaan-perniagaan yang menguntungkan di Mesir. Mereka tidak mahu kehilangan asset-aset berharga ini. Maka mereka cuba untuk terus kekal berkuasa dan mengupah samseng-samseng untuk menakut-nakutkan rakyat yang sedang berkumpul dan protes di medan Tahrir (yang kini bergelar Medan Syuhada). Samseng-samseng inilah yang digunakan setiap kali berlaku pilihanraya untuk menakut-nakutkan rakyat. Untuk menambat kesetiasaan samseng-samseng ini maka mereka diberikan lessen untuk menguruskan perkhidmatan pengangkutan awam dan kontrak-kontrak perniagaan yang menguntungkan. Mesir kini sedang ditadbir urus oleh mafia-mafia dan samseng-samseng upahan. Samseng ini jugalah yang dikerah untuk membantai rakyat Mesir yang keluar untuk mendesak supaya Mubarak mengundur diri. Setakat ini ratusan rakyat Mesir telah syahid di tangan samseng-samseng upahan Mubaraq. Namun Mubarak tidak mungkin mematahkan semangat juang jutaan rakyat Mesir yang terus istiqamah menuntut hak mereka yang sudah lama dinafikan.
Apa yang digambarkan oleh As-Syahid Hassan al-Banna 60 tahun yang lalu kini menjadi kenyataan. Jika pemerintah Mesir terus-terusan berlaku zalim maka mereka tidak akan tumbang di tangan al-Ikhwan Muslimin tetapi mereka akan ditumbangkan oleh rakyat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Hari umat Islam sudah terlalu jauh dari menghayati dan melaksanakan tanggungjawab al-Imarah atau kepimpinan.
Amatlah jauhnya penghayatan makna al-Imarah ini jika dibandingkan dengan generasi pelopor umat ini. Lihatlah Umar al-Khatab. Pada satu malam beliau tidak dapat tidur kerana sampai berita ada seekor keldai yang tergelincir di Iraq. Akibat dari peristiwa ini Umar menangis dan mengakui berdosa kepada Tuhan “ya Allah saya menjadi pemimpin tetapi gagal untuk membuat jalan yang elok sehingga ada haiwan yang tergelincir” Kejadian yang menimpa seekor keldai sudah cukup menjadikan Umar bertanggungjawab untuk memastikan rakyat di bawah kepimpinannya hidup selesa dan sejahtera. Umar sesungguhnya memahami hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ‘Pemimpin satu kaum adalah pelayan mereka’ (Hadis riwayat Abu Naim).
Bagaimana agaknya dengan seorang pemimpin yang membiarkan rakyatnya hidup melarat kerana ketiadaan kemudahan asas ataupun mereka tidak mampu memperolehinya. Bahkan hidup mewah di atas penderitaan rakyat. Kategori semacam apakah yang hendak kita letakkan kepada pemimpin seperti ini?
Tibalah masanya kini kita menyemak makna dan tuntutan al-Imarah kepimpinan dalam Islam. Mailah kita didik generasi hari ini supaya melayakkan mereka untuk menjadi pemimpin umat di masa hadapan. Pemimpin yang ada dalam dirinya sifat Taqwa. Sesungguhnya pemimpin seperti ini sahajalah yang layak memimpin umat ini. Mereka akan menjadi uswah dan qudwah kepada ummah, menjadi pendidik (murabbi) dan khadim-ul-ummah (pelayan kepada umat yang dipimpinnya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment